KUCHING: Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) menyasarkan untuk memacu inovasi dalam industri kelapa sawit dengan menganjurkan Persidangan dan Pameran Pengurusan dan Teknologi Kelapa Sawit (POMtec) pada tahun depan.
Pengerusi SOPPOA Eric Kiu Kwong Seng berkata POMtec dijadual diadakan pada 18 dan 19 Februari 2025 di Hotel Pullman Miri.
Menurutnya POMtec merupakan acara penting yang bakal menghimpunkan pihak berkepentingan terkemuka dalam industri, pakar teknologi dan inovator bagi meneroka penyelesaian mampan serta kemajuan dalam pengurusan dan pengeluaran kelapa sawit.
Beliau menambah, bertemakan ‘Memperkemas Operasi dan Inovasi Merentas Sektor untuk Pertumbuhan Mampan’, POMtec 2025 akan menyerlahkan kepentingan pendekatan bersepadu untuk meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi merentas rantaian bekalan minyak sawit.
“Acara ini akan menyediakan platform untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai topik bermula daripada pengeluaran biji benih dan pengurusan tapak semaian hingga amalan perladangan dan teknologi-teknologi perkilangan.
“Ia bertujuan memupuk kerjasama dan memperkenalkan kemajuan teknologi untuk menangani cabaran yang dihadapi industri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kiu berkata POMtec 2025 menunjukkan komitmen SOPPOA untuk memajukan industri minyak sawit dengan memfokus kepada kemampanan, produktiviti dan penyelesaian yang dipacu teknologi.
Beliau menambah POMtec 2025 juga merupakan platform untuk peneraju industri, pakar dan pembekal melibatkan diri dalam perbincangan bermakna pada masa sama mempamerkan inovasi yang akan membantu memacu industri ke hadapan.
POMtec 2025 katanya juga akan disertai pameran, membolehkan pembekal dan penyedia perkhidmatan mempersembahkan produk dan teknologi termaju yang penting kepada industri kelapa sawit.
Pameran ini menyediakan peluang rangkaian yang unik, membolehkan peserta berhubung dengan bakal rakan kongsi dan meneroka penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan industri, tambahnya.
SOPPOA pertubuhan tidak mencari keuntungan mewakili majoriti pekebun-pekebun kelapa sawit di Sarawak dan amat berdedikasi menyokong pertumbuhan industri, memperkukuhkan amalan kelestarian serta mempromosikan inovasi dalam sektor kelapa sawit.
Untuk keterangan lanjut mengenai POMtec 2025 termasuk perincian pendaftaran serta peluang-peluang pameran, pihak berminat dinasihati melayari laman sesawang www.soppoa.org.my/pomtec2025
Utusan Borneo