logo
Home   |   Contact Us

The Archives

SOPPOA bincang penggunaan teknologi lebih maju dalam industri kelapa sawit dengan Dr Hazland

Friday, 18 October 2024

Eric (barisan hadapan, empat kanan) bersama ahli SOPPOA dan wakil pembekal perkhidmatan industri merakam kenangan bersama Dr Hazland (barisan hadapan, lima kanan) semasa pertemuan mereka pada Rabu.

Eric (barisan hadapan, empat kanan) bersama ahli SOPPOA dan wakil pembekal perkhidmatan industri merakam kenangan bersama Dr Hazland (barisan hadapan, lima kanan) semasa pertemuan mereka pada Rabu.

KUCHING: Keperluan penggunaan teknologi lebih maju dalam industri kelapa sawit antara isu kritikal dibincangkan semasa pertemuan antara Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni pada Rabu.

Pengerusi SOPPOA Eric Kui Kwong Seng berkata, pertemuan itu mencerminkan komitmen bersama untuk mengatasi pelbagai cabaran dihadapi oleh industri, terutamanya dalam menyesuaikan diri dengan peraturan alam sekitar yang semakin ketat.

“Pada 16 Oktober (2024) SOPPOA berpeluang bertemu dengan Datuk Dr Hazland, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, menandakan satu lagi penglibatan kerajaan-industri yang penting, bertujuan untuk menangani isu-isu utama dalam industri minyak sawit di Sarawak.

“Salah satu isu kritikal yang dibincangkan ialah keperluan industri untuk teknologi yang lebih maju bagi memenuhi piawaian kawal selia, terutamanya dalam bidang seperti pengurusan produk sampingan dan kawalan pelepasan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Eric menambah, banyak proses semasa dalam industri itu masih kekurangan penyelesaian teknologi sewajarnya bagi memastikan ia seiring dengan jangkaan alam sekitar.

Situasi itu menurutnya, telah meletakkan tekanan kepada pengendali iaitu pemilik-pemilik ladang kelapa sawit.

“Semasa pertemuan itu, Dr Hazland juga menunjukkan pendekatan proaktifnya dengan mencadangkan beberapa strategi jangka pendek dan panjang untuk membantu industri.

“Komitmen beliau untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan memastikan penyelesaian yang praktikal dan mampan dapat dikenal pasti serta dilaksanakan.

“SOPPOA amat menghargai inisiatif berterusan Dr Hazland dan mengharapkan kerjasama berterusan dalam merealisasikan cita-cita negeri untuk meningkatkan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau menambah, “Bersama-sama kita menyasar untuk mengimbangi kemajuan perindustrian dengan tanggungjawab ekologi, memastikan industri minyak sawit terus berkembang maju dengan cara yang mampan.”

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif SOPPOA Dr Felix Moh Mee Ho, Ahli SOPPOA dan Pembekal Perkhidmatan Industri.